04 Januari 2009

Azab kubur itu benar


Salam..

Ingin saya kongsikan pengalaman saya sendiri berkenaan dengan kisah azab kubur ini. Sebelum itu saya minta tuan moderator tolong hilangkan id saya, kerana kisah ini terjadi pada arwah pakcik saya pada oct 1994 yang lalu.

14 tahun dah berlalu, tetapi masih segar dalam ingatan saya iaitu pada tahun 1994, saya ketika itu berusia 14 tahun, dari kecil saya dijaga dan dibesarkan bersama arwah pakcik, walaupun tinggal bersama keluarga, ayah & ibu berniaga dan masa saya banyak bersama arwah. Arwah seorang yang ramah, baik, sukakan kanak-kanak, kelakar dan disenangi oleh semua orang.

Cuma seperkara, arwah pakcik saya seorang penagih dadah. Mula menagih dari saya lahir ke dunia sehinggalah dia meninggal dunia. Beliau meninggal akibat dadah. Beliau pernah beberapakali  dipenjarakan  dan dimasukkan ke wad pemulihan, tetapi masih lagi gagal meninggalkan ketagihannya. Beliau hidup membujang sehingga ke akhir hayat.

Hari khamis malam jumaat pada jam 10malam, kami dapat panggilam talipon dari keluarga. Pakcik dalam keadaan tenat. Saya sampai dan lihat dia terbaring atas katil. Matanya besar dan tajam memandang ke arah orang sekeliling, sesekali memandang ke atas. Dia rebah selepas "suntikan" yang dia lakukan. Di dalam store tempat dia selalu "port" bersepah perkakasan dadah dia dan kelihatan darah menitik sehingga ke tempat dia rebah.

Dari 10 malam hingga ke 4 pagi, tidak henti-henti dia muntah, membuang air besar dan nafasnya semakin kuat dan kali ini memang senantiasa dia memandang ke atas. Saya sentiasa disisinya dan membacakan surrah Yasin. Alhamdulilllah, saya ajarkan dia mengucap. Walaupun dia sudah tidak boleh berkata-kata, tetapi dia masih mencuba. Mukanya berkerut dan sesekali saya cuba tutupkan matanya agar tidak selalu melihat ke atas (saya faham apakah disebalik pandangan ke atas tatkala seseorang itu dalam keadaan sakratul..)

7 pagi di pagi jumaat, dia meninggalkan kami dipangkuan saya. Saya mandikan. Saya tolong kapankan dan saya tatap dia untuk kali yang terakhir. Walaupun saya ketika itu berusia 14 tahun, saya bantu lakukan semuanya. Saya iringinya dengan van jenazah sehinggalah dia ke liang lahad. Saya antara yang terakhir meninggalkan perkarangan kubur selepas selesai bacaan talkin & doa.

Dari malam itu, tiap-tiap malam saya sedekahkan surrah Yassin untuknya. Malah saya qada' kan solat dengan niat pahala solat saya itu diberikan sepenuhnya untuk arwah. Saya lakukan ini tanpa henti sehingga berbulan lamanya (setiap hari dan setiap solat akan saya bacakan surah yasin). Untuk pengetahuan, arwah jarang solat dan puasa ketika hayatnya.

Malam ke 40 selepas pemergiannya, saya mula bermimpi bertemunya, tetapi hanya untuk seketika. Tiada bicara. Malam pertama di bulan Ramadhan, saya bermimpi lagi, dia balik ke rumah. Masuk dari pintu belakang. Jumpa saya dan terus peluk sehingga saya rasakan pipinya berada dipipi saya. Dia cuma meminta segelas air minuman.

Malam ke 100 pemergiannya, ini kali terakhir saya bermimpi bertemu dia dalam mimpi tu jelas dia datang berjumpa saya, dengan pakaian yang koyak rabak, mukanya hitam memandang tajam ke arah saya, lalu dipeluknya saya dan menceritakan kejadian yang berlaku di alam sana. Tidak tertanggung kesedihan saya tatkala menulis email ni, masih segar diingatan setiap ungkapan yang diucapkan dalam mimpi itu. Dia dipukul dengan teruk, dibelasah sambil menunjukkan kesan patah riuk di badannya. Berpuluh-puluh kali dia berpesan supaya jangan tinggalkan solat, jangan tinggalkan puasa dan jangan jadi macam dia. Sebelum dia meninggalkan saya, dia berpesan lagi "Kau jangannnnlah tinggal sembahyang...  jangan buat dosa... sakitnyaaaaa.......

"Itu lah kata-kata terkakhir darinya sebelum mimpi saya lenyap dan saya tersedar dari tidur. tidak henti-henti saya menangis, solat dan sedekahnya apa sahaja yang termampu. Betapa ngerinya wajah dia pada waktu itu tidak dapat saya gambarkan dalam email ini.

Setiap mimpi yang saya lalui ada saya catatkan hingga ke hari ini, nota mimpi saya masih saya simpan dalam album.

Saya bukanlah bertujuan untuk mengaibkan arwah, tetapi sebagai pengajaran untuk dikongsi bersama untuk kita sama-sama jadikan iktibar berdasarkan pengalaman saya sendiri melaluinya. Saya sentiasa berdoa agar Allah mengampunkan dosa silamnya.

AL-FATIHAH 

Buat :Allahyarham Burhanordin Yahya 
1954 - oct 1994

Tiada ulasan: