10 Ogos 2009

Wasiat lagi...


Ada seorang tua yang hidupnya kaya raya. Kekayaannya adalah hasil tipu muslihatnya, beliau tidak pernah memakai barangan yang tiada berkualiti. Semua barangannya berharga dan berjenama. Beliau merupakan seorang yang sangat kedekut.

Setiap hari orang kaya ini hidup dengan tipu muslihatnya. Beliau amat cekap sehingga semua mangsanya terpedaya dengan tipu helahnya. Orang kaya ini mempunyai isteri dan seorang anak. Setiap hari isterinya berdoa pada tuhan agar suaminya akan insaf. 

Sering kali juga si isteri cuba menasihatkan suaminya supaya insaf. Malangnya nasihat si isteri tidak dipedulikannya malah dimarahi pula. 

"Kau tidak payahlah hendak mengajar aku bagaimana hendak hidup, kau ingat kita boleh kaya begini jika aku tidak pandai menipu" kata si suami dengan sombongnya. Sehingga ke satu tahap, harta anak-anak yatimpun beliau hendak tipu juga. 

Pada waktu beliau sihat, orang kaya ini amat kedekut dan tidak pernah bercampur dengan jiran-jirannya. Oleh sebab itu, ketika beliau jatuh sakit, tiada orang yang datang melawatnya.  

Ketika dalam keadaan tenat, orang kaya ini hanya ditemani oleh isteri dan anaknya. Beliau sempat memberi wasiat kepada isterinya. " Jika abang meninggal dunia nanti, sayang tidak payahlah beli kain kapan yang mahal, beli sahaja yang murah, kalau boleh yang buruk, lusuh dan yang sudah koyak sahaja".

Isterinya berkata di dalam hati, "alhamdullillah insaf juga akhirnya suami aku". Tetapi terdetik di hati si isteri untuk bertanya,  "abang!, kenapa hendak kain kapan yang buruk?", lantas orang kaya itupun berkata, " jika abang pakai kain kapan yang buruk, apabila malaikat datang, mesti malaikat itu ingat abang sudah lama mati, jadi dia tidak tanyalah abang". 

Isterinya yang agak terperanjat dan berkata, "masyaallah sampai malaikatpun abang hendak menipu, ingatkan sudah insaf!.

Tiada ulasan: