06 Disember 2008

Mawi nyaris maut ketika skodeng


JOHOR BAHRU: “Selepas berjaya mengeluarkan semua barang, baru saya teringat Mawi masih di dalam rumahnya,” kata seorang wanita mangsa kebakaran yang memusnahkan tiga rumah papan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, dekat sini, awal pagi semalam.

Mariana Sunyi, 35, berkata disebabkan terlalu panik dan keadaan kelam-kabut, dia terlupa untuk menyelamatkan Mawi, seekor anak kera berusia empat tahun yang masih tertambat di dalam rumahnya ketika kebakaran merebak.

"Bagaimanapun, umur Mawi masih panjang kerana sebahagian daripada rumah hangus ketika kami menyelamatkannya. Dia cedera di tangan kanan akibat terkena api,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mariana berkata, dia membela Mawi sebagai haiwan peliharaan dan membina sebuah rumah kecil khusus sebagai tempat berteduh di tepi rumahnya yang dijilat api dalam kebakaran itu.

Kera berkenaan diberikan nama Mawi kerana dia amat meminati penyanyi terkenal kelahiran Johor, Asmawi Ani sejak anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai itu muncul juara Akademi Fantasia 3.

Kebakaran kira-kira jam 2..30 pagi itu turut menyaksikan sepasang suami isteri nekad terjun ke dalam laut bersama seorang anak mereka berusia dua tahun untuk menyelamatkan diri apabila menyedari rumah mereka dijilat api.

Todi Buruk, 43, membuat keputusan itu selepas mendapati mereka terperangkap dalam api yang sedang marak memusnahkan rumah yang diperbuat daripada papan itu dan satu-satunya jalan untuk mereka melepaskan diri dengan selamat ialah terjun ke dalam laut.

Menurut Todi, dalam kejadian itu, dia dan isteri serta anak mereka sedang nyenyak tidur di bilik belakang rumah yang dibina di tepi gigi air di pantai kampung berkenaan.

"Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan, sebaik menyedari rumah dijilat api, saya segera mengejutkan isteri supaya membawa anak keluar..

"Tetapi kami terhalang kerana pintu masuk utama sedang terbakar dan api sungguh besar. Oleh kerana tidak ada jalan lain lagi, saya menarik isteri yang sedang mendukung anak ke belakang rumah dan terjun ke dalam laut,” katanya.

Todi berkata, dia dan keluarganya kemudian berjaya berenang ke tepi pantai dalam keadaan selamat sebelum dibantu jiran dalam kebakaran yang turut menyebabkan tiga rumah musnah.

Katanya, api dipercayai bermula di rumahnya dan merebak ke dua rumah jiran bersebelahan dan api merebak dengan cepat kerana semua rumah terbabit diperbuat daripada papan.

Todi mendakwa, dia mengalami kerugian kira-kira RM50,000 termasuk barang kemas bernilai RM10,000, dua televisyen, dua mesin basuh, peti ais, perabot dan lain-lain.

"Walaupun tinggal sehelai sepinggang, saya bersyukur isteri dan anak saya selamat selepas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Alias Awang, 46, berkata dia lapan sekeluarga bernasib baik tidak mati hangus dalam kejadian itu selepas terjaga daripada tidur akibat bunyi bising di luar rumah.

"Mujurlah anak-anak saya berusia antara sembilan bulan hingga 17 tahun tidur di bahagian depan rumah kerana api menyambar di bahagian belakang rumah terlebih dulu.

"Sebaik saja mendengar bunyi bising, saya terjaga dan terkejut melihat asal tebal dalam rumah, lantas saya mengarahkan anak yang tidur di bahagian depan rumah berlari keluar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ismail Ghani, ketika dihubungi berkata, dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 2.24 pagi dan operasi memadam kebakaran tamat pada 4 pagi.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudinrudy@hmetro. com.my

Tiada ulasan: